Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Varian Delta yang dikesan sudah berada di negara ini menjadi antara faktor berlakunya peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan kajian mendapati nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8.

"Ini menjadikan 100 individu yang dijangkiti oleh varian Delta mampu menjangkitkan 800 individu lain. Jangkitan ini adalah melalui udara dan pada masa singkat boleh menjangkiti individu lain.

"Kes positif Covid-19 dilihat meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini yang disebabkan oleh varian Delta," katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

DR Adham Baba (dua dari kanan) ketika mengadakan sidang media khas mengenai Task Force Greater Klang Valley. Turut kelihatan Mohd Shafiq (kanan), Dr Noor Hisham (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong (kiri). FOTO Bernama
DR Adham Baba (dua dari kanan) ketika mengadakan sidang media khas mengenai Task Force Greater Klang Valley. Turut kelihatan Mohd Shafiq (kanan), Dr Noor Hisham (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong (kiri). FOTO Bernama

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, unjuran kes semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula Jun lalu menunjukkan kes terkawal dan meningkat semula disebabkan varian baharu itu.

Menurutnya, varian Delta kini menjadi varian dominan di seluruh negara seperti varian Beta yang merebak ke seluruh negeri sebelum ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan saringan bersasar di lapangan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kes harian Covid-19.

Beliau berkata, KKM sedang berusaha untuk meningkatkan kapasiti saringan kepada 120,000 saringan sehari bagi mengesan individu positif dan mengawal penularan dalam komuniti.


Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan melihat kepada penggunaan RTK Antigen air liur yang boleh dilaksanakan sendiri.

"Satu mesyuarat akan diadakan esok untuk mencari kaedah menambah saringan di lapangan supaya dapat dikesan dengan lebih baik dan mengasingkan kes positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:57 PM