GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Ibadah korban bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor masih dilaksanakan tahun ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat di sebalik jumlah kes Covid-19 yang kian meningkat sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, setakat ini kebenaran ibadah korban masih diteruskan tanpa perubahan, namun SOP perlu dipatuhi pihak yang akan menjalankan ibadah itu.

"Setakat ini tiada sebarang perubahan kebenaran ibadah korban.

"Jawi akan maklumkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang perubahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, proses penyembelihan binatang korban, lapah, potong dan pembungkusan daging korban hanya akan dilaksanakan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut penyelarasan Jawi melalui pejabat Pentadbiran Zon.

Sementara itu, jurucakap Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga memaklumkan tiada sebarang perubahan terhadap kebenaran diberikan sebelum ini.

"Kebenaran ibadah korban masih kekal seperti diumumkan sebelum ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebelum ini dilapor berkata, ibadah korban boleh dilaksanakan di Rumah Sembelih Veterinar, Rumah Sembelih Swasta Berdaftar Jabatan Veterinar, ladang atau kandang ternak dan masjid yang diluluskan.

Namun berbeza di Negeri Sembilan yang menangguhkan ibadah korban untuk tahun ini ekoran jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, perkara itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 5:33 PM