PENDUDUK Kampung Kuala Sanglang dipakaikan gelang merah jambu selepas dikenakan perintah Temco. FOTO Arkib NSTP
PENDUDUK Kampung Kuala Sanglang dipakaikan gelang merah jambu selepas dikenakan perintah Temco. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

POLIS mengingatkan penduduk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Padang Terap, tidak menggunakan laluan tikus untuk keluar dari kawasan bagi mengelak risiko penyebaran Covid-19.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, ingatan itu berikutan ada sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Ulu, Padang Sanai dikesan lolos melalui laluan tikus untuk ke pekan Kuala Nerang, minggu lalu.

Jelasnya, pasangan itu didapati menanggalkan gelang merah jambu dan putih sebelum keluar melalui laluan tikus dengan motosikal sebelum ditahan polis.

"Tindakan pasangan itu menyebabkan mereka bakal dituduh mengikut Seksyen 269, Kanun Keseksaan dan Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Siasatan kes ini sudah siap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, semalam.

MULKIAMAN. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MULKIAMAN. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Sementara itu, Mulkiaman berkata, pihaknya sudah melakukan sekatan jalan raya (SJR) di empat kampung iaitu Kampung Ulu, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Chenderai yang dikesan mempunyai banyak laluan tikus.

"Sekatan jalan raya terbabit dilakukan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selama 24 jam termasuk rondaan secara berkala di laluan tikus.

"Orang ramai diminta tidak ingkar Temco dan mematuhi arahan kuarantin sehingga 30 Ogos ini," katanya.

Sehingga kini, empat kes positif Covid-19 membabitkan kluster Sivagangga di daerah itu.

POLIS serta anggota APM dan RELA sedang menjalankan tugas memeriksa kenderaan keluar masuk di kawasan TEMCO di Padang Sanai, Padang Terap. FOTO Noorazura Abdul Rahman
POLIS serta anggota APM dan RELA sedang menjalankan tugas memeriksa kenderaan keluar masuk di kawasan TEMCO di Padang Sanai, Padang Terap. FOTO Noorazura Abdul Rahman

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 7:30 AM