PENDUDUK daerah Jerantut mengambil kesempatan menerima dos pertama tanpa temu janji di lapan PPV mulai hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
PENDUDUK daerah Jerantut mengambil kesempatan menerima dos pertama tanpa temu janji di lapan PPV mulai hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Sebanyak 5,868 vaksin dos pertama akan diberi kepada penduduk berusia 18 tahun ke atas di daerah ini secara terus tanpa janji temu, bermula hari ini hingga 12 September.

Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Mohd Amir Faisal Mohd Khairi berkata, keutamaan diberi kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu hamil dan penghidap penyakit kronik di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Beliau berkata, pemberian vaksin di lapan PPV itu akan bermula pada 9 pagi sehingga 5 petang atau sehingga vaksin habis.

"PPV itu adalah Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut sebanyak 1,002 dos pertama, Dewan Dato Chu Rahimah (498 dos), Dewan Semai Bakti Sungai Tekam Utara (810) dan Dewan Semai Bakti Jengka 8 (810).

"Manakala, Klinik Kesihatan Lepar Utara 4 (402), Klinik Kesihatan Padang Piol (810), Klinik Kesihatan Jerantut Feri (768) dan Klinik Kesihatan Damak ( 768)," katanya.

Beliau berkata, lokasi PPV dos pertama itu terletak di kampung, tanah rancangan Felda, kawasan perumahan dan sekitar bandar Jerantut dan orang ramai memilih lokasi berdekatan kediaman mereka.

Menurutnya, orang ramai yang belum menerima suntikan vaksin diminta segera hadir ke PPV terbabit untuk mendapatkan suntikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 3:34 PM