Rosli Ilham


Dungun: Aktiviti ziarah keluarga dan melepak bersama rakan-rakan antara punca 81 kes positif Covid-19 membabitkan Kluster Gong Pasir dikesan sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus berkata, sejak kampung itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan PKP Diperketatkan PKPD, seramai 976 daripada 1,105 individu sudah menjalani ujian saringan.

"Ini (adalah) hari keempat kita lakukan ujian saringan ke atas penduduk dan hanya ada sebilangan kecil masih belum membuat ujian dan kita jangka akan selesai pada hari ini," katanya ketika meninjau situasi Covid di Kampung Gong Pasir, di sini, semalam.

Sementara itu, dalam catatan di Facebooknya, Dr Azimi berkata, kes pertama kluster berkenaan dikesan sejak 20 Jun lalu dan pesakit terbabit membuat pemeriksaan pada 28 Jun lalu.

Katanya, kebanyakan 53 kes dikesan membabitkan aktiviti ziarah ahli keluarga dan 18 kes membabitkan aktiviti lepak bersama rakan-rakan serta aktiviti sosial lain.

"Akibat aktiviti lepak ini, maka ada antara kes merupakan pekerja sebuah kilang di Kemaman. Jadi jangkitan komuniti ini telah masuk ke kilang dan dua pekerja kilang disahkan positif dan (dari) komuniti ke kilang pergi ke komuniti dan begitulah rantaian yang berlaku.

"Sekiranya kalau begitu ramai pekerja di kilang yang positif akan bawa balik kepada keluarga mereka, bayangkan akibatnya," katanya.

Katanya, beliau berharap penduduk supaya melupakan sementara aktiviti ziarah keluarga dan sahabat dalam usaha negeri ini berpindah kepada fasa seterusnya dengan lebih cepat.

Dr Nor Azimi (kiri) memberi taklimat kepada petugas kesihatan ketika melawat di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir. Tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun membabitkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM. FOTO GHAZALI KORI
Dr Nor Azimi (kiri) memberi taklimat kepada petugas kesihatan ketika melawat di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir. Tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun membabitkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM. FOTO GHAZALI KORI

Sementara itu, katanya, tahap penggunaan katil termasuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di negeri ini berada dalam keadaan mencukupi.

"Sebanyak 411 katil disediakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan Hospital Hulu Terengganu di mana setakat ini hanya 72 katil digunakan.

"Sebanyak 2,389 katil disediakan di lima Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini dan setakat ini, penggunaan katil kita mencukupi dan pegawai serta barisan hadapan kita termasuk pegawai perubatan, jururawat dan sebagainya turut mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:41 PM