LALUAN ditutup dengan batu konkrit bagi mengelak penduduk Kampung Gong Pasir keluar dari kawasan PKPD. FOTO Rosli Ilham
LALUAN ditutup dengan batu konkrit bagi mengelak penduduk Kampung Gong Pasir keluar dari kawasan PKPD. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Lima laluan tikus di Kampung Gong Pasir, di sini, terpaksa ditutup dengan penghadang konkrit selepas penghadang besi dan pita keselamatan yang dipasang sebelum ini dialih penduduk.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, lima laluan itu ditutup selepas kampung itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, lorong yang ditutup itu adalah lorong Bunga Raya Tujuh, dua di susur keluar ke Kampung Che Lijah, pintu pagar Sekolah Kebangsaan Gong Pasir serta di pintu belakang pagar sekolah terbabit.

"Kita mengesan ada pihak yang yang tidak bertanggungjawab mengalih penghalang besi itu dan berikutan itu kita menukar dengan meletakkan batu konkrit di laluan tikus terbabit membabitkan kerjasama dengan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah.

"Tindakan yang kami lakukan ini bukan berniat menyusahkan penduduk, sebaliknya bertujuan membantu membebaskan penduduk di sini daripada ancaman Covid-19," katanya.

Baharuddin berkata, PKPD yang dikuatkuasakan di Taman Maidam, Kampung Gong Pasir dan rumah Kos Rendah Gong Pasir selama 14 hari membabitkan 318 rumah dengan 1,570 penduduk.

"Daripada laporan yang kami terima setakat semalam, seramai 82 kes positif dicatatkan daripada kluster di kampung itu dan seramai 976 daripada 1105 penduduk menjalani ujian saringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:37 PM