GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Kelantan, Kedah, Pahang dan Sabah bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein Hussein berkata, PKPD selama 14 hari itu membabitkan enam lokaliti.

Menurutnya, PKPD di Sabah membabitkan tiga lokaliti iaitu Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod; Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik di Tawau, Sabah.

"Di Kelantan, PKPD dilaksanakan di Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat manakala di Pahang membabitkan Felda Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis.

"Di Kedah pula PKPD di Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD itu adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, PKPD di lima lokaliti dilanjutkan 14 hari lagi iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam di Mukim Sura, Dungun, Terengganu; Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong, Pahang dan Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan menamatkan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria dan Mukim Berungis di Tuaran; Kampung Gumandang, Kudat; Kampung Lumatai Ulu, Beaufort; dan Kampung Banting, Kampung Kawang serta Kampung Ulu Bole di Sipitang.

Katanya, turut ditamatkan 14 lokaliti di Temerloh, Pahang dan Kampung Dewan Besar, Labok, Machang, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:52 PM