PELANCONG terpaksa turut dari bot pelancong dan berjalan berikutan muara Kuala Dungun yang cetek. FOTO ROSLI ILHAM
PELANCONG terpaksa turut dari bot pelancong dan berjalan berikutan muara Kuala Dungun yang cetek. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: Masalah muara Kuala Dungun yang cetek menyebabkan kesukaran kepada 500 nelayan di daerah ini untuk keluar masuk menangkap ikan.

Keadaan muara cetek itu kini semakin ketara sehingga terbentuk pasir, sekali gus mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

Nelayan, Zulkifli Deraman, 40, berkata keadaan muara cetek itu menyebabkan nelayan terpaksa menunggu air pasang sebelum boleh keluar ke laut.

"Paling sulit ketika kami pulang pada waktu malam untuk mendaratkan hasil tangkapan dan terpaksa bermalam di dalam bot sementara menunggu air pasang.

"Masalah ini berlanjutan sejak 15 tahun dahulu dan sehingga kini nampaknya tiada jalan penyelesaian diambil," katanya.

Kamaruddin Abdullah, 63, berkata, kesan muara cetek turut menyebabkan berlaku gelombang besar dan amat menakutkan nelayan untuk keluar masuk ke Kuala Dungun.

Menurutnya, sudah banyak kes bot nelayan dipukul ombak dan setakat ini sembilan nelayan sudah menjadi korban.

"Masalah muara cetek ini turut menyulitkan kepada pelancong yang pulang dari Pulau Tenggol kerana terpaksa berjalan kaki untuk naik atau turun dari bot pelancong.

"Pihak berwajib perlu segera menyelesaikan masalah ini kerana kerja mendalamkan muara dan membina benteng penahan ombak dikatakan sudah dilakukan di daerah lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, kerja mendalamkan muara itu dijangka akan dimulakan sebaik musim tengkujuh berakhir.

Menurutnya, pihaknya melalui Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berusaha mempercepatkan kelulusan dari kerajaan pusat untuk segera membina benteng penahan ombak dianggarkan bernilai RM250 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 12:27 PM