Mohd Fakhrul mengelap tubuh Azizah manakala Norazariah mengelap badan Norila di kediaman Azizah di Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Mohd Fakhrul mengelap tubuh Azizah manakala Norazariah mengelap badan Norila di kediaman Azizah di Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: "Walaupun terlantar sakit akibat penyakit angin ahmar namun saya relakan anak menyambung pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu," ujar ibu tunggal, Azizah Bujang, 54.

Dia berkata, anak tunggalnya, Mohd Fakhrul Fitri Razali, 16, sebelum ini berkorban menjaganya selain turut mengambil berat keadaann kakaknya, Norila, 57, yang kudung kedua-dua kaki akibat diabetes di kediaman mereka di Kampung Sungai Buloh, di sini.

"Selama ini, Mohd Fakhrul menguruskan makan dan minum kami selain membersihkan badan kami kerana kami tidak mampu bergerak.

"Namun apabila mengetahui dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM, saya tidak mahu menghalangnya.

"Biarlah dia pergi menimba ilmu kerana ilmu amat penting untuk masa depannya. Saya kamu dia menjadi

insan berguna untuk agama, bangsa dan negara," katanya semalam.

Azizah diserang angin ahmar sejak 2014 menyebabkan anggota tubuh sebelah kanan tidak mampu digerakkan manakala kakaknya yang menghidap diabetes kronik, kehilangan kaki kiri pada 2010 dan kaki kanan pada 2016.

Kedua-dua wanita itu tiada tempat bergantung harapan untuk meneruskan kehidupan, selain Mohd Fakhrul selepas suami Azizah, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.

Mohd Fakhrul berkata, meskipun hanya anak angkat, dia amat menyayangi Azizah dan arwah Mohd Yusri kerana mereka memeliharanya sejak kecil.

"Saya terima tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM Besut pada 27 April lalu tetapi sekadar mendaftar secara dalam talian dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Bagaimanapun, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan pembelajaran secara bersemuka dimulakan, saya terpaksa tinggalkan ibu dan Mak Long (Norila) untuk menimba ilmu," katanya.

Difahamkan anak saudara Azizah, Norazariah Abdul Aziz, 40, dan anaknya, Mohd Shahrir Imran

Zawawi, 17, akan membantunya sepanjang ketiadaannya di rumah berkenaan.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd Fakhrul boleh menghubunginya ditalian 017-3065606.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:42 PM