Nornadirah menjaga Norila  yang baru selesai menjalani pembedahan membuang kaki kanan akibat penyakit kencing manis di Hospital Melaka.
Nornadirah menjaga Norila yang baru selesai menjalani pembedahan membuang kaki kanan akibat penyakit kencing manis di Hospital Melaka.
Nor Shafinaz Sari


Melaka: Ketawa untuk menyembunyikan kesedihan. Begitu reaksi Nornadirah Amir Hassan, 22, yang mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang kerana mahu menggalas tanggungjawab menjaga dan menguruskan tiga ahli keluarga kerana menghidap penyakit kronik.

Walaupun berstatus anak angkat, dia sanggup menjaga ibunya Norila Bujang, 52, ibu saudara Azizah Bujang, 49, dan bapa saudara Mohd Yusri Aziz, 47, seperti darah daging sendiri kerana sudah dijaga keluarga itu sejak bayi lagi.

Norila kini hilang kedua-dua kaki dari paras betis ke bawah kerana dipotong akibat penyakit kencing manis, manakala Azizah terlantar kerana lumpuh hampir seluruh badan selepas diserang angin ahmar, sementara Mohd Yusri pula hilang upaya bekerja berikutan disahkan menghidap masalah jantung dan buah pinggang rosak.

Penuntut Diploma Kulinari itu berkata, dia sepatutnya memulakan semula pengajian pada hujung Jun lalu, namun menangguhkannya selepas Mohd Yusri disahkan menghidap masalah jantung, manakala kaki kanan ibunya pula dipotong pada 10 Oktober lalu.

Sejak Jun lalu, dia juga menguruskan anak angkat ibu saudaranya Mohd Fakhrul Fitri Razali, 11.

“Semua ini saya lakukan dengan ikhlas dan rela hati, (kerana) mereka tidak ada orang lain lagi untuk bergantung dan mendapat sokongan dalam meneruskan kehidupan selain saya.

“Dulu ibu menjaga ibu saudara, dia gagahkan diri menguruskan rumah walaupun dengan hanya sebelah kaki, tetapi kini dia hilang upaya untuk berjalan. Saya umpama ketua keluarga dan tidak pernah berasa terbeban dengan apa ditempuhi sekarang.

“Ibu bapa kandung saya orang susah menyebabkan saya diambil oleh keluarga ini sebagai anak angkat. Kini giliran saya membalas jasa mereka selain mendapatkan kasih sayang kerana ibu bapa kandung sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, dia akan berulang-alik ke Hospital Melaka hampir setiap hari selepas menguruskan anak dan ibu saudaranya di rumah di Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah.

“Tumpuan saya sekarang hanya kepada keluarga menyebabkan soal pengajian ditolak ke tepi terlebih dahulu sehingga keadaan pulih semula. Saya juga sudah berbincang dengan pensyarah dan beliau cukup bertimbang rasa serta faham dengan masalah saya hadapi ini.

“Biarpun tidak dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh ditetapkan bersama rakan sekuliah lain, saya reda demi kasih sayang pada keluarga tercinta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:22 AM