Nor Akmar Samudin


PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Melanie Grace Billy, 18, mahu mengejar cita-citanya menjadi doktor dan membuka klinik di kampung halamannya di Keningau, Sabah.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sandakan yang mendapat keputusan peperiksaan 9A itu bakal melanjutkan pengajiannya di International Medical School, Kuala Lumpur.

Gadis keturunan Dusun itu berkata, dia amat terhutang budi kepada ibu bapa, adik beradik dan masyarakat di kampungnya yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan sehingga dia muncul pelajar cemerlang pada SPM 2018.

“Saya berjanji untuk membalas budi dan jasa baik mereka apabila kembali berkhidmat kepada masyarakat di kampung dengan membuka klinik di sana selepas tamat pengajian,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pra Universiti Kepada Pelajar Cemerlang MRSM SPM 2018, yang diadakan di sini, semalam.

Majlis penyerahan surat tawaran itu disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Hadir sama, Pengerusi Mara Dr Hasnita Hashim.

Kata Melanie, dia juga berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menaja pengajiannya sehingga tamat.

“Bapa saya hanya bekerja sendiri dan ibu pula suri rumah tangga. Saya ada tiga lagi adik yang masih belajar dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk persekolahan mereka.

“Dengan adanya tajaan daripada Mara, ia membantu meringankan beban kewangan keluarga dan saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Bekas pelajar cemerlang MRSM Mersing, Ahmad Nazrun Mumbir Osman, 18, juga mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Anak keempat daripada lima beradik itu akan memasuki Kolej Mara Kulim sebelum meneruskan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

“Saya sangat bersyukur di atas peluang dan keistimewaan yang diberikan Mara kepada pelajar daripada keluarga susah untuk meneruskan pengajian kerana pembiayaan untuk kursus perubatan adalah mahal dan ini di luar kemampuan keluarga saya,” katanya yang berketurunan Orang Asli Jakun.

Kakaknya, Nurul Izzaty juga ‘anak’ Mara kini melanjutkan pengajian di Tasmania, Australia, dalam jurusan Marine Offshore.

“Kejayaan kakak dan galakkan ibu bapa, mendorong kejayaan saya hari ini. Perjalanan saya masih panjang dan saya akan pastikan keluarga berbangga dengan saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Razif Jamil dari Manong, Perak, turut memilih bidang perubatan dan mahu menjadi pakar neurologi.

Bekas pelajar MRSM Taiping itu memberitahu petua kecemerlangannya dalam pelajaran adalah sentiasa patuh cakap ibu bapa dan menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Pada majlis itu, seramai 51 bekas pelajar MRSM yang cemerlang SPM 2018 daripada golongan keluarga miskin berpendapatan RM1,000 ke bawah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke program Pra Universiti yang melayakkan mereka melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara mengikut bidang pengajian pilihan masing-masing.

Semua pelajar itu memperolehi keputusan 9A dalam SPM 2018 yang lalu dan ditawarkan melalui program khas yang diwujudkan khusus untuk membantu pelajar dari kalangan keluarga miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:40 AM