Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri.

"Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, beliau sedar dan insaf bahawa dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar.

"Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya," katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, dia juga percaya hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, negara mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama.

Katanya, apa juga jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendiriannya saya tetap sama iaitu mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

"Saya berdoa, semoga Allah SWT meredai ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

Terdahulu kenyataan pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, manakala Hishammuddin pula dilantik menjadi Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan, berkuatkuasa serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:55 PM