HISHAMMUDDIN (kiri) dan Ismail Sabri antara nama yang disebut isi jawatan TPM.
HISHAMMUDDIN (kiri) dan Ismail Sabri antara nama yang disebut isi jawatan TPM.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Arena politik negara kembali hangat selepas dikatakan wujud kompromi untuk menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno susulan desakan akar umbi parti itu.

Difahamkan, satu perbincangan mengenainya diadakan baru-baru ini bersama pemimpin Umno namun belum ada kata putus mengenai siapa akan dilantik.

Sumber memberitahu Harian Metro, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengemukakan cadangan untuk lantikan berkenaan namun tidak dipersetujui pimpinan Umno.

"Ya, ia dibincangkan baru-baru ini. Tetapi tidak sebut nama. Kalau sebelum ini dua nama yang disebut-sebut adalah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Umno mahukan mereka sendiri cadangkan nama untuk jawatan itu," katanya.

Sumber yang lain memaklumkan, Umno tetap dengan pendirian untuk mengadakan pilihan raya pada waktu yang sesuai dan menyifatkan sebarang pelantikan apa-apa jawatan tidak menyelesaikan masalah.

Terdahulu media melaporkan, bagi mencapai kata sepakat, Hishammuddin dan Ismail Sabri dibenarkan mengadakan perbincangan terlebih dulu sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Dalam persidangan Umno bahagian seluruh negara minggu lalu, rata-rata perwakilan meminta kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditamatkan antaranya disebabkan layanan berat sebelah ke atas parti itu.

Terbaru, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin selepas turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) beberapa hari sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 1:49 PM