Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saiful Haizan Hasam


Kuala Lumpur: Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Mohamed Azmin juga menyatakan keyakinan bahawa kestabilan negara dan kemakmuran rakyat dapat dicapai melalui usaha secara kolektif.

"Saya yakin kestabilan negara dan kemakmuran rakyat adalah usaha kita bersama. Teguh kita menang bersama," katanya dalam kenyataan melalui Twitter.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

"Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

"Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin di atas pelantikan ini," kata Pejabat Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 8:12 PM