GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


Kuala Langat: Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 di sebuah hospital semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, laporan berkenaan diterima sekitar jam 6.21 petang.

"Pihak kami kini membuka kertas enkuari polis dan dalam proses menyiasat lanjut aduan berkenaan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis tular di media sosial hari ini yang mana seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital semalam.

Menurut laporan itu, lelaki berkenaan merakam proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin dalam picagari berkenaan malah jarum suntikan tidak ditekan.

Lelaki itu turut mendakwa dimarahi dan memadam rakaman video berkenaan selepas mendapat suntikan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:41 PM