Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Puas hati. Itu luahan kebanyakan penerima vaksin yang ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) apabila diajukan soalan mengenai kebenaran mengambil gambar dan video ketika suntikan.

Rata-rata mereka berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana memberi kebenaran merakam proses suntikan bagi mengelakkan penerima vaksin menerima suntikan kosong.

Tinjauan Harian Metro hari ini di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) mendapati penerima vaksin bukan sahaja mengambil gambar malah merakam video ketika disuntik petugas.

Kakitangan swasta, Norhafizah Zakaria, 40, melahirkan kesyukuran kerana suntikan pertamanya berjalan lancar dan dibenarkan merekod sendiri video sebagai bukti.

"Ini dos pertama saya dan ada juga timbul rasa bimbang dapat vaksin yang kosong. Tapi syukur semuanya berjalan lancar dari mula mendaftar sehingga dipanggil menerima suntikan.

"Cadangan membenarkan mengambil video atau gambar ini bagus kerana boleh mengelakkan rasa was-was penerima vaksin.

"Saya lihat semua petugas di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) ini sangat profesional dan memberi penerangan mengenai proses suntikan," katanya.

Bagi Kalaimathy Raman, 21, dia juga berpuas hati dengan proses vaksinasi di pusat itu dan petugas membenarkan dia merakam semua proses.

"Saya berdebar tapi ini pengamalan baru bagi saya dan proses suntikan pula hanya mengambil masa singkat.

"Pada pendapat saya, orang ramai tidak perlu takut untuk mengambil vaksin atau khuatir menerima vaksin 'kosong'.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab ini sudah pasti akan diambil tindakan," katanya.

Selain merakam video dan bergambar sebagai bukti menerima vaksin sempurna, Chong Tet Choong, 21, berkata dia akan menyimpannya sebagai kenangan.

NORHAFIZAH Zakaria di PPV WTCKL. FOTO Rohanis Shukri
NORHAFIZAH Zakaria di PPV WTCKL. FOTO Rohanis Shukri

"Saya ditunjukkan picagari yang berisi vaksin dan disuntik dengan vaksin itu. Prosesnya cepat dan lancar.

"Nasihat saya kepada orang ramai jika tiada halangan, ambil vaksin dengan segera supaya kita dapat capai komuniti kelompok," katanya.

Berkongsi pengalaman suntikan kedua, Zaihurin Sukardy, 55, berkata dia tidak melepaskan peluang merakam video bagi suntikan kali ini.

"Memandangkan ketika suntikan pertama saya tidak sempat untuk merakam video, jadi kali ini akan meminta anak untuk melakukannya.

"Saya percaya dos pertama yang saya terima sempurna (bukan vaksin kosong) sebab selepas suntikan itu ia memberi tindak balas dan badan saya jadi lemah," katanya yang berharap dos kedua ini tidak memberi kesan sampingan yang teruk.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin memberi kebenaran untuk rakyat merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan vaksinasi di mana-mana PPV berikutan terdapat PPV yang tidak membenarkan proses rakaman dilakukan.

Keputusan itu diumumkan bagi memastikan setiap penerima mempunyai bukti kukuh mendapat kadar vaksin yang sempurna.

Khairy turut menjelaskan pihaknya sudah mengarahkan petugas kesihatan untuk menunjukkan kepada penerima vaksin picagari sudah diisi kuantiti (vaksin) sempurna sebelum suntikan.

Sebelum ini, tular beberapa video yang dirakam penerima vaksin menunjukkan mereka menerima picagari kosong dan ada juga yang tidak disuntik sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:24 PM