Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) memberi suntikan vaksin kepada seorang penerima di PPV Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) memberi suntikan vaksin kepada seorang penerima di PPV Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Selama: "Ini bukan masa nak melawak, ianya membabitkan nyawa kita dan rakyat Malaysia."

Begitu kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berhubung video tular seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital di Selangor pada 6 Julai lalu.

Dr Noor Azmi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat satu siasatan menyeluruh daripada pelbagai sudut berhubung dakwaan berkenaan.

"Soal vaksin ini, ia bukanlah perkara main-main, ini serius sebab membabitkan nyawa.

"Biarpun ada laporan polis dibuat, namun satu siasatan terperinci akan dibuat KKM bagi mengenal pasti kesahihan video yang tular itu," katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Dr Noor Azmi juga menafikan kejadian itu disebabkan oleh kecuaian petugas kesihatan.

"Perkara itu tidak boleh terjadi berikutan pemberian vaksin mempunyai kaedah di mana setiap pemberian perlu diperiksa antara dua atau tiga orang dalam ruang vaksinasi itu.

"Malah, Bahagian Farmasi akan memeriksa botol vaksin itu dan botol-botol ini tidak dibuang tetapi akan periksa kembali," katanya.

Ditanya mengenai kesahihan beberapa lagi video yang tular mendakwa turut disuntik dengan picagari kosong, Dr Noor Azmi berkata, pihaknya amat kesal dan tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Berhubung beberapa video tular lain, saya bertanya kepada individu yang mengirim kepada saya secara detail (lanjut), bila berlaku, di PPV mana, namun senyap tiada jawapan.

"Justeru, kita anggap ianya tidak benar. Malah boleh dilakonkan, ambil jarum (picagari) actionlah, lepas tu viralkan.

"Sebenarnya KKM juga amat risau berhubung penularan berita tidak benar ini. Justeru, satu siasatan terperinci akan dibuat bagi menyiasat video yang tular itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:47 PM