GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima seperti yang ditularkan.

Beliau berkata, ia memandangkan pemberian vaksin Covid-19 sentiasa dijalankan mengikut kaedah terbaik yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya, penambahbaikan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahap optimum.

"Beberapa perkara ditekankan semasa proses pemberian vaksin dilaksanakan iaitu pemberi vaksin atau vaccinator yang terbabit dipastikan terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh JKNS.

"Sekurang - kurangnya dua kakitangan terbabit dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen iaitu seorang kakitangan adalah vaccinator ,manakala seorang lagi sebagai penyedia vaksin serta sebagai saksi semasa pemberian vaksin dilakukan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, penyedia vaksin akan membuat persiapan dan menyedut vaksin ke dalam picagari khas mengikut sukatan yang ditentukan dan menyerahkannya kepada vaccinator atau meletakkannya di dalam wadah khas yang berdekatan.

Katanya, penyedia vaksin bertanggungjawab memastikan tiada picagari kosong yang belum berisi vaksin berada di atas troli vaccinator.

Jelasnya, sebelum vaksin disuntik, vaccinator bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang akan diberi kepada penerima vaksin berdasarkan penandaan yang dibuat semasa proses pendaftaran.

"Prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawai suntikan intramuscular dan selepas selesai suntikan diberikan, picagari kosong akan dibuang ke dalam sharp bin (bekas alatan tajam) yang terletak berdekatan dengan vaccinator.

"Dengan pematuhan terhadap langkah - langkah di atas, adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana - mana penerima.

"Pusat pemberian vaksin sentiasa berusaha memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan penyelarasan di peringkat hospital secara holistik sudah diambil serta pemantauan berterusan dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi hospital," katanya.

Semalam, tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin di sebuah hospital.

Polis Kuala Langat turut mengesahkan menerima laporan berkenaan pada 6.21 petang semalam dan sudah menyiasat laporan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:11 AM