Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan rampasan berjumlah hampir RM2 juta membabitkan 188 kes sepanjang Op Benteng yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, daripada jumlah itu, daun ketum mencatatkan rampasan tertinggi iaitu melebihi 36 tan bernilai lebih RM1 juta.

Katanya, jumlah rampasan berkenaan dibuat menerusi lima operasi iaitu Op Benteng Sempadan Darat, Op Benteng Persisir Pantai, Ops Bersepadu Khazanah, Op Bersepadu Kontinjen Perlis dan Op Kontraban.

"Statistik menunjukkan penurunan berbanding 205 kes membabitkan rampasan hampir RM4 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Penurunan berkenaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan ketika ini," katanya pada sidang media di Pejabat PGA Briged Utara, Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis bersama Pegawai Turus Risik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Asisten Superintendan Azman Marwaji menunjukkan gambar rampasan dan operasi Op Benteng di Pejabat PGA Ulu Kinta. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis bersama Pegawai Turus Risik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Asisten Superintendan Azman Marwaji menunjukkan gambar rampasan dan operasi Op Benteng di Pejabat PGA Ulu Kinta. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Mohd Noh berkata, meskipun jumlah kes dan nilai rampasan dilihat menurun, tetapi pihaknya tidak mengurangkan jumlah penugasan anggota bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

"Sehingga kini pintu sempadan masih ditutup kepada orang awam, besar kemungkinan mengakibatkan kekurangan berlaku penyeludupan.

"Kalau mendapat maklumat aktiviti penyeludupan, kita akan melaksanakan penugasan sepenuhnya, malah akan memperhebatkan lagi penugasan agar dapat mengekang penyeludupan terutama daripada negara jiran," katanya.

Katanya, selain itu pihaknya akan menambahkan keanggotaan bagi memantau dan mengesan laluan tikus di kawasan sempadan negara.

"Lubang-lubang tikus ini sentiasa berubah, tetapi ia tidak mengekang daripada semangat pasukan untuk mengesan, malah kita turut mengesan aktiviti penyeludupan menggunakan dron," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:10 PM