Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sarjan Kamaluddin Saiman, 55, bersyukur kerana penantiannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berakhir hari ini.

Kamaluddin menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta yang memulakan operasinya hari ini.

"Syukur kerana akhirnya saya berpeluang menerima suntikan vaksin selepas tertangguh lebih tiga bulan akibat positif Covid-19," katanya.

Kamaluddin yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Briged Utara PGA Ulu Kinta dan sudah 32 tahun berkhidmat berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 16 Januari lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Sebelum itu, saya mengalami simptom tiada selera makan, demam, pening dan hilang deria rasa. Saya kemudiannya membuat ujian calitan sebelum disahkan positif Covid-19.

"Saya cuti sakit sehingga 6 Februari, oleh kerana badan masih lemah, saya tidak dapat menyertai rakan menerima suntikan fasa pertama. Walaupun lewat, saya bersyukur kerana sudah disuntik," katanya.

Menurut Kamaluddin, selain dia, isteri dan anak mereka yang berusia 16 tahun turut disahkan positif Covid-19.

SARJAN Kamaluddin Saiman bergambar bersama plakad 'saya telah di vaksin' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta. FOTO Sharul Hafiz Zam
SARJAN Kamaluddin Saiman bergambar bersama plakad 'saya telah di vaksin' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta. FOTO Sharul Hafiz Zam

Katanya, pembukaan PPV berkenaan memberi kemudahan untuk lebih ramai mendapatkan suntikan vaksin.

"Alhamdulillah, isteri turut menerima vaksin pada hari ini," katanya.

Kamaluddin adalah satu-satunya anggota polis yang menerima suntikan vaksin pada hari pertama operasi PPV berkenaan.

PPV yang pertama seumpamanya dalam markas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memberikan perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Briged Utara dan ahli keluarga mereka serta pasukan beruniform lain.

Sementara itu, Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, hari pertama PPV berjalan lancar dan pihaknya mensasarkan dapat memberi suntikan kepada 200 penerima.

"Kita berharap pembukaan PPV ini membantu mempertingkatkan vaksinasi dalam kalangan warga PGA Briged Utara.

"Sebagai permulaan, kita akan beri keutamaan kepada 1,472 warga briged yang sudah mendaftar sebelum diteruskan kepada warga sekitar di luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 5:37 PM