Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua kilang percetakan di Jelutong dan Jalan Patani, di sini, masing-masing menerima satu kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Patuh, hari ini.

Tindakan diambil kerana kesalahan melanggar syarat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kehadiran kakitangan melebihi had ditetapkan.

Dua kilang berkenaan antara 11 premis yang diperiksa polis dan agensi lain berkaitan di empat lokasi daerah Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai empat individu juga dikompaun kerana tidak mengimbas MySejahtera dan satu lagi atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Katanya, selain di Jalan Patani dan Jalan Jelutong, lokasi perindustrian yang diperiksa ialah di Jalan Dato Kramat dan Pulau Tikus, di sini.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan rekod apikasi MySejahtera terhadap pekerja dan lebih kapasiti pekerja yang hadir dalam Op Patuh di sebuah kilang cetak. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan rekod apikasi MySejahtera terhadap pekerja dan lebih kapasiti pekerja yang hadir dalam Op Patuh di sebuah kilang cetak. FOTO Mikail Ong

"Seramai 264 individu dan 11 kilang diperiksa menerusi operasi yang dijalankan antara jam 10 pagi hingga 3.30 petang.

"Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan atas beberapa kesalahan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM27,500," katanya.

Pemeriksaan Op Patuh berkenaan membabitkan seramai 45 anggota termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Soffian berkata, pihaknya kesal kerana masih ada individu yang tidak mengimbas kod MySejahtera dan memakai pelitup muka dengan memberi alasan terlupa.

"Operasi berkenaan bukan bertujuan bagi mencari kesalahan semata-mata tetapi bagi mendidik masyarakat supaya patuh pada arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM semasa tempoh PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 8:16 PM