MOHD Zaidi (kiri) ketika melaksanakan pemeriksaan kilang menerusi Op Patuh di sebuah kilang di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
MOHD Zaidi (kiri) ketika melaksanakan pemeriksaan kilang menerusi Op Patuh di sebuah kilang di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Beroperasi tanpa kebenaran, pekerja melebihi had dibenarkan dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah kesalahan yang dikesan dalam Op Patuh dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan Manggatal dan Inanam itu dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi yang dijalankan membabitkan pemeriksaan terhadap 10 kilang.

Katanya, hasil pemeriksaan, tiga kilang bersama 12 pekerja kilang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiga kilang masing-masing dikompan RM10,000 kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Manakala 12 pekerja masing-masing dikompaun RM1,500 kerana tidak mematuhi SOP, tidak mengimbas MySejahtera selain jumlah pekerja melebihi kapasiti dibenarkan.

"Kilang yang diperiksa hari ini adalah industri besi, produk plastik dan minuman serta polisterin," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kebanyakan kilang yang dikenakan kompaun mengaku kurang faham mengenai SOP yang ditetapkan.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga penguatkuasaan membabitkan Covid-19 selesai.

"Semalam kita menjalankan operasi terhadap lapan kilang di kawasan sama namun tiada sebarang kesalahan dikesan.

"Kita berharap semua kilang-kilang yang beroperasi menuruti SOP ditetapkan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:07 PM