Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed bersama pegawai beberapa agensi ketika Operasi Pematuhan SOP di sebuah kilang Top Glove di Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed bersama pegawai beberapa agensi ketika Operasi Pematuhan SOP di sebuah kilang Top Glove di Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tiga kilang dikompaun atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam Ops Patuh bersepadu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dua daripada kilang berkenaan dikompaun RM10,000 masing-masing kerana gagal memastikan pekerja mereka mengimbas kod MySejahtera.

Selain itu, katanya, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut mengeluarkan kompaun terhadap dua kilang pemprosesan makanan itu kerana beroperasi tanpa lesen.

Sementara itu, katanya, satu lagi kilang dikompaun MPPD kerana papan iklan kilang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ops Patuh ini diadakan selama dua minggu bermula dari 2 hingga 16 Julai. Pihak polis akan terus bekerjasama agensi kerajaan dengan membuat pemeriksaan secara mengejut di beberapa kilang yang dikenal pasti.

"Tumpuan kita adalah premis kilang atau industri termasuk asrama penginapan pekerja dan premis perniagaan di seluruh Port Dickson," katanya ketika ditemui selepas mengadakan operasi di sebuah kilang di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, sejak hari pertama operasi dijalankan, pihaknya sudah memeriksa 10 kilang, selain 160 premis perniagaan dan empat asrama pekerja.

"Polis juga mengeluarkan kompaun dan mengarahkan sebuah premis perniagaan ditutup serta merta kerana dibuka tanpa kebenaran sepanjang tempoh PKP dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:36 PM