POLIS melakukan pemeriksaan Op Patuh di sebuah premis. FOTO ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan Op Patuh di sebuah premis. FOTO ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kompaun sebanyak RM313,000 dikeluarkan Polis Melaka menerusi Op Patuh yang dijalankan di negeri ini sejak 25 Jun sehingga kelmarin.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) negeri Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, jumlah itu direkodkan pihaknya selepas 34 kompaun dikeluarkan membabitkan beberapa kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, sepanjang operasi ini pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melakukan pemeriksaan ke atas pelbagai premis membabitkan kilang serta asrama pekerja.

"Daripada jumlah kompaun dikeluarkan itu, 11 kesalahan dikesan membabitkan menjual barang bukan keperluan, pekerja tidak mengimbas kod MySejahtera serta majikan gagal menyediakan tempat tinggal mengikut SOP dan 10 kesalahan lagi tiada surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

"Manakala sembilan kompaun dikeluarkan selepas kami mendapati kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan masing- masing dua membabitkan salah guna surat MITI serta gagal menyediakan protokal kesihatan," katanya.

Menurut beliau, sepanjang itu juga 24 premis dikenakan tindakan penutupan premis selepas didapati berlakunya pelanggaran garis panduan dan SOP ditetapkan.

"Dalam tempoh Op Patuh juga sebanyak 6,364 premis di kesemua tiga daerah di negeri ini diperiksa pasukan penguatkuasa.

"Untuk rekod kita sudah memeriksa 893 kilang, 283 asrama pekerja serta 227 tapak pembinaan dan bakinya premis perniagaan," katanya.

Mohd Hedzir berkata, arahan penutupan premis dikeluarkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tempoh penutupan bergantung kepada kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 11:14 AM