Gambar fail, Dr Noor Hisham Abdullah.
Gambar fail, Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih ramai pesakit kritikal Covid-19 yang tidak dapat ditempatkan di wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di hospital terutama di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu kini terpaksa diletakkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Katanya, nasib sama turut menimpa pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat yang memerlukan bantuan oksigen, dengan mereka hanya dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang

"Jumlah pesakit Covid-19 termasuk yang disyaki atau berkemungkinan dijangkiti virus itu masih tinggi dan tidak menunjukkan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang.

"Sehingga kini, 1,224 pesakit sudah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lebih separuh atau 567 pesakit berada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Bagaimanapun, masih ramai lagi pesakit yang kritikal tidak dapat dimasukkan ke dalam wad," katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah seperti seperti meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merawat pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

Katanya, HKL juga membuat penyumberluaran (outsourcing) dengan merujuk pesakit bukan Covid-19 dari hospital berkenaan ke hospital swasta yang berdekatan, selain kapasiti merawat pesakit Covid-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dipertingkatkan.

"KKM turut menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh, bermula 30 Jun lalu," katanya yang memaklumkan terdapat 17 hospital yang merawat kes Covid-19 di seluruh Lembah Klang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 9:37 AM