GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan bilangan pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan hospital itu, 71 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima manakala bakinya adalah pesakit kategori satu dan dua.

"Berdasarkan rekod terkini Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima antara 60 hingga 70 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Bagi pesakit kategori lima, pesakit perlu dirawat di ICU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, HKL adalah hospital rujukan berstatus Hibrid Covid-19 yang menerima pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta ICU.

"Jumlah kedatangan atau rujukan pesakit ke Jabatan Kecemasan dan Trauma yang tinggi ditangani dengan penyediaan dan penggunaan katil tambahan oleh pengurusan HKL.

"Pesakit Covid-19 yang stabil dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori bagi membolehkan HKL menerima dan merawat segera pesakit Covid-19 yang lain," katanya.

Menurutnya, selain itu, jumlah kedatangan atau rujukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat ke hospital KKM di Lembah Klang juga ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh yang kini berstatus Hospital Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS yang turut mengendalikan sementara pesakit Covid- 19 hingga kategori empat sebelum pesakit dipindahkan ke hospital.

"KKM juga bekerjasama dengan Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi Mara dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menerima dan merawat kes pesakit Covid-19 dan bukan Covid.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil pesakit (termasuk 'repurpose bed' di Lembah Klang kini mencapai kadar melebihi 85 peratus.

"Mengambil kira isu keperluan penyediaan katil tambahan khususnya katil di ICU, pengurusan KKM pada 3 Julai lalu mengadakan perbincangan bersama dengan HKL, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Ketua Perkhidmatan Kepakaran yang berkaitan bagi meneliti langkah afirmatif segera untuk menangani keadaan luar jangka kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke hospital KKM di Lembah Klang," katanya.

Katanya, antara langkah afirmatif yang akan dilaksanakan segera adalah memperluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

"Selain itu, meningkatkan kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan yang diperlukan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi Mara bagi menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

"KKM juga akan memberi penugasan semula (mobilisasi) secara sementara kepada petugas kesihatan (pakar perubatan dan anggota paramedik) dari negeri tertentu bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yangmemerlukan petugas kesihatan tambahan bagi merawat pesakit Covid-19," katanya.

Dr Adham berkata, langkah lain termasuk mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir dari Institut Latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal bagi membantu petugas kesihatan sedia ada seperti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Manakala, sebahagian anggota jururawat berpengalaman yang ditugaskan di PPV dan Pusat Saringan Covid-19 akan ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital KKM," kataknya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 1:17 PM