Petugas perubatan merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Trauma & Kecemasan Hospital Sungai Buloh. FOTO ihsan KKM
Petugas perubatan merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Trauma & Kecemasan Hospital Sungai Buloh. FOTO ihsan KKM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jumlah pesakit Covid-19 masih tinggi dan belum menunjukkan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, terdapat 1,224 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), dengan 567 daripadanya dirawat di Lembah Klang.

Menurutnya, namun diingatkan, terdapat ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital di Lembah Klang yang belum dapat dimasukkan ke wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad dan ICU.

"Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit Covid-19 kategori 3 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah MAEPS.

"Antara langkah yang sedang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) merawat pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 serta penyumberluaran (outsourcing) dengan merujuk pesakit bukan Covid-19 dari HKL ke hospital swasta yang berdekatan.

"Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga akan dipertingkatkan kapasiti supaya lebih ramai pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dapat dirawat," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kapasiti merawat pesakit Covid-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

"Menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh mulai 30 Jun lalu," katanya.

Katanya, terdapat 17 hospital yang merawat pesakit Covid-19 di sekitar Lembah Klang iaitu Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Banting, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Selain itu, Hospital UiTM, Hospital Sungai Buloh, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, HKL, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz UKM dan Hospital Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 9:39 PM