POLIS mengesan waris mayat lelaki yang dijumpai di sebuah danau di Senggarang, Batu Pahat. FOTO ihsan Polis
POLIS mengesan waris mayat lelaki yang dijumpai di sebuah danau di Senggarang, Batu Pahat. FOTO ihsan Polis
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Punca kematian lelaki yang mayatnya ditemukan reput dan busuk dalam danau di Tasik Tanjung Labuh dekat sini, pada 22 Jun lalu adalah akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah kerana bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas.

Katanya, sehubungan itu kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) tetapi polis perlu menjejaki waris lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu.

"Lelaki yang belum dikenal pasti keturunannya itu mempunyai ketinggian 160 sentimeter dan terdapat satu skru di tulang peha kanannya.

"Lelaki terbabit dipercayai meninggal dunia enam hingga tujuh hari sebelum mayatnya dijumpai pada jam 4 petang 22 Jun lalu dan berhampirannya terdapat seutas pukat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau majikan yang kehilangan pekerja supaya menghubungi Sarjan Bahaiah Muhamed di Balai Polis Senggarang menerusi talian 07-4291222.

Pada 23 Jun lalu media melaporkan mayat lelaki yang sudah mula mereput dan busuk ditemui di lokasi berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II K Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.52 petang.

Katanya, mayat ditemukan dalam danau sedalam 1.8 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 12:54 PM