LOKASI mayat kanak-kanak enam tahun ditemui. FOTO ihsan Polis
LOKASI mayat kanak-kanak enam tahun ditemui. FOTO ihsan Polis
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui lemas ketika sedang mandi di kolam renang di taman tema di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dalam kejadian 4.35 petang itu mangsa, S Rishither, dikatakan lemas selepas disedari oleh bapanya, S Surentharan, 35.

Menurutnya, mayat kanak-kanak terbabit ditemui pada bahagian kedalaman kolam 1.5 meter.

"Siasatan awal, penjaga keselamatan yang juga saksi kejadian memaklumkan dia ternampak bapa mangsa Surentharan terjun ke dalam kolam mandi bagi menyelamatkan mangsa selepas mengadu mengenai kehilangan anaknya itu.

"Lelaki terbabit cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap anaknya, namun gagal. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah, Batu Pahat oleh pihak pengurusan sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Menurutnya, tiada unsur jenayah yang berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 11:08 AM