ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang dengan perut berlubang di di sebuah ladang sawit di Batu Niah di Miri. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang dengan perut berlubang di di sebuah ladang sawit di Batu Niah di Miri. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rizal Abdullah


MISTERI bau busuk di ladang sawit di Batu Niah, Miri, sejak beberapa hari lalu terungkai selepas mayat reput ditemui di kawasan ladang sawit berkenaan, semalam.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dan perut berlubang pada 8.30 pagi oleh pekerja ladang.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mayat berkenaan ditemui oleh beberapa pekerja ladang sawit yang terhidu bau busuk di kawasan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, mereka menemui mayat yang sudah membusuk sebelum mereka melaporkan kejadian itu kepada pengurusan ladang.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat berkenaan adalah pekerja ladang sawit warga Indonesia," katanya.

Menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat pada Jumaat lalu oleh isterinya sebelum mangsa ditemui mati.

"Tiada kesan kecederaan pada badan mangsa, manakala semua barangan berharga dan motosikal mangsa juga tidak terusik.

"Bagaimanapun, perut mangsa dalam keadaan berlubang dipercayai akibat dimakan haiwan liar," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 2:12 PM