RINA (kanan) menyampaikan barang keperluan harian kepada Nor Rohayu  pada Program Penyerahan Bakul Makanan di Sepang.
RINA (kanan) menyampaikan barang keperluan harian kepada Nor Rohayu pada Program Penyerahan Bakul Makanan di Sepang.
Muhaamad Hafis Nawawi

Sepang: Terharu dan gembira. Itu perasaan Nor Rohayu Abu Bakar, 36, yang tidak menyangka terpilih menerima sumbangan Bakul Makanan disampaikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, baru-baru ini.

Suri rumah itu berkata, pendapatan suami Manap Kassim, 60, terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, suaminya yang menghidap penyakit batu karang juga kurang sihat dan terpaksa membeli ubat dan PKP ini turut memberi kesan kepada keluarga mereka.

"Saya yang mengetahui mengenai program ini di Facebook kemudian mencuba nasib memohon dan pada mulanya tidak tahu menjadi penerima sehinggalah dikunjungi menteri yang menyerahkan sendiri sumbangan itu.

"Suami hanya bekerja tukang rumah dan sejak PKP ini memang pendapatan kami terjejas dan kami bersyukur dengan pemberian ini," kata ibu kepada dua anak berusia tujuh dan 12 tahun.

Dia yang tinggal di Jalan Gelugor, Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek berharap program ini akan diteruskan dan barangan keperluan diterimanya itu mampu bertahan dalam sebulan.

Seorang lagi penerima, Noraini Dollah, 54, berkata, dia yang terkesan dengan pandemik Covid-19 bersyukur menerima bantuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 9:53 AM