GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang, Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual 24 November ini.

Gangguan bermula 9 malam hari Selasa 24 November dan dijangka pulih sepenuhnya pada 5.30 petang keesokan harinya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, ia susulan kerja-kerja penggantian injap pada paip agihan yang terletak di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama yang akan dilaksanakan bermula 9 malam 24 November ini.

Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap di paip agihan itu akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar dan semua peralatan berkaitan sentiasa berada dalam keadaan baik dan optimum.

"Penambahbaikan infrastruktur injap ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kawasan bakal terjejas di Kuala Langat adalah Kampung Kudang, Tanjung Sepat New Village, Taman Pelangi, Taman Tanjung Sepat Indah, Ladang Bedford dan Kampung Tanjung Layang.

Kawasan lain adalah Kuarters Estate Gadong, Kampung Batu Laut, Ladang Batu, Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Kampung Tanjung Sepat Darat, Berek Polis Tanjung Sepat, Kampung Batu Untung, Taman Batu Untung, Taman Tanjung, Taman Mutiara, Kampung Tumbuk dan Taman Kanchong Laut.

Bagi Sepang pula ia membabitkan Kampung Bukit Bangkong, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Kem PKLS Hazliza Ulu Teris, Kampung Hulu Teris, Tanjung Rhu, Taman Seri Sungai Pelek, Kampung Ulu Chuchoh, Pekan Sungai Pelek dan Kampung Baru Sungai Pelek.

Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan para pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

#kw xnstp, Air Selangor, gangguan, air, berjadual, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 2:19 PM