GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah pusat panggilan penipuan tawaran kerja di Jalan Bangkong, Taman Bandaraya, di sini, dan menahan 22 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya melakukan serbuan jam 7.45 malam di premis terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 22 orang terdiri 21 warga tempatan dan seorang warga asing membabitkan 18 lelaki serta empat wanita berusia 19 hingga 37 tahun.

"Mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian di mana premis itu dijadikan tempat operasi pusat panggilan.

"Turut dirampas 96 unit telefon telefon bimbit dan 20 set komputer," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu beroperasi selama hampir tiga bulan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 8:20 PM