Orang Asli suku Kensiu tinggal di dangau di dalam hutan di Kampung Lubuk Legong dekat Baling sejak PKP dilaksanakan. Foto Samadi Kamarudin
Orang Asli suku Kensiu tinggal di dangau di dalam hutan di Kampung Lubuk Legong dekat Baling sejak PKP dilaksanakan. Foto Samadi Kamarudin
Safuri Kamarudin

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu turut memberi kesan kepada masyarakat Orang Asli sehingga ada yang hilang punca pendapatan.

Mereka mendakwa selain tidak dapat menoreh getah sejak kebelakangan ini, mereka juga tidak dapat keluar untuk mencari sumber rezeki di hutan.

Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Lubuk Legong dekat Baling, Razali Kulim, 41, berkata, mereka turut terkejas sumber pendapatan sejak PKP kerana ramai tidak boleh bekerja.

Menurutnya, mereka akan masuk ke hutan mencari sumber asli seperti petai, rebung, akar kayu herba, buluh, rotan, daun atap, lemang, daun ketupat, ulam dan buah- buahan untuk di jual sekiranya tidak dapat menoreh getah.

"Apabila ada orang yang memesan kami masuk ke hutan mencari untuk di jual tetapi kini tidak dapat ke hutan lagi mencari rezeki sekali gus menyebabkan punca pendapatan turut terjejas," katanya.

Menurutnya, perbelanjaan harian kini hanya bergantung kepada sumbangan yang diberikan oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan.

"Walaupun ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan barangan makanan ketika PKP ini tetapi habis begitu saja," katanya.

Razali berkata, masyarakat di kampung itu perlu bekerja dan mendapatkan wang untuk perbelanjaan lain namun keadaan tidak mengizinkan.

Katanya, sebulan lebih mereka tidak bekerja malah kebelakangan ini pula kerap hujan pada waktu petang dan tidak boleh menoreh.

"Bagaimanapun, penyakit berjangkit perlu dicegah...kesihatan mesti dijaga dan pada masa yang sama kami juga perlu bekerja untuk dapatkan wang.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli suku Kensiu di situ kebanyakannya menoreh getah dan mencari sumber hutan untuk keperluan hidup.

Razali berkata, dia bersyukur kerana anak buahnya akur dan patuh perintah kerajaan.

"Ada antara kami tidak tinggal di rumah dan membawa keluarga tinggal di hutan ketika PKP ini bagi mengelak berkumpul beramai-ramai.

"Kami bina dangau (pondok kecil) dengan menggunakan kayu hutan dan membuat unggun api," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 10:53 AM