ANGGOTA polis dan kakitangan Pejabat Kesihatan Kemaman memeriksa sebuah premis dalam operasi bersepadu pematuhan SOP di Kemaman, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM
ANGGOTA polis dan kakitangan Pejabat Kesihatan Kemaman memeriksa sebuah premis dalam operasi bersepadu pematuhan SOP di Kemaman, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai: Sebuah premis membekal alatan pertukangan dikompaun RM10,000 dalam satu operasi bersepadu polis dan Pejabat Kesihatan Daerah PKD Kemaman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemilik premis itu dikompaun kerana gagal mematuhi kapasiti kehadiran pekerja.

Menurutnya, pemilik premis itu dikompaun oleh anggota PKD Kemaman di bawah Peraturan 17 ( 1 ) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan PKP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Operasi bersepadu ini dilakukan bagi mengesan pemilik industri yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Kita dapati pemilik premis itu gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dimana pekerja yang hadir ialah sebanyak 80 peratus seperti yang dibenarkan iaitu sebanyak 60 peratus," katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati pemilik premis terbabit gagal mematuhi beberapa SOP lain seperti gagal mengawal laluan keluar masuk pelanggan ke dalam premis serta tidak membuat saringan gejala kepada pelanggan.

"Selain itu pemilik terbabit didapati gagal melakukan kerja pembasmian kuman secara harian di kawasan umum seperti yang dinyatakan di dalam SOP .

"Untuk kesalahan itu pemilik premis perindustrian terbabit diberikan amaran dan pihak kami akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesemua SOP dipatuhi oleh pemilik premis terbabit," katanya.

Hanyan berkata, pihaknya turut berterima kasih atas kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat.

"Bermula 31 Mei lalu, 133 premis diperiksa dan daripada jumlah itu, 59 syarikat dikompaun sebanyak RM590,000 didapati melakukan kesalahan perlanggaran SOP.

"Kita akan teruskan operasi ini dari semasa ke semasa dan berharap kepada pemilik syarikat mematuhi setiap SOP yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 7:17 PM