Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Sebanyak 605 kompaun bernilai RM1.569 juta dikeluarkan terhadap syarikat dan individu di Terengganu kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 461 kompaun bernilai RM614,517 sudah dijelaskan.

Menurutnya, kesemua kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 62,727 premis bermula 1 Januari hingga Jumaat lalu.

"Terdapat 21 jenis kesalahan sering dikesan dengan tiga kesalahan utama iaitu gagal mengamalkan penjarakan fizikal (23.64 peratus), gagal memakai pelitup muka (20.83 peratus) dan gagal mendaftar masuk menggunakan MySejahtera (19.83 peratus).

"Mereka diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian," katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu Inter Agensi Penguatkuasaan SOP PKP 3.0 Peringkat Daerah Kemaman.

Dr Nor Azimi (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan (kanan) ketika Ops Bersepadu Inter Agensi Penguatkuasaan SOP PKP 3.0 Peringkat Daerah Kemaman. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY.
Dr Nor Azimi (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan (kanan) ketika Ops Bersepadu Inter Agensi Penguatkuasaan SOP PKP 3.0 Peringkat Daerah Kemaman. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY.

Mengulas mengenai ops bersepadu itu, Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 232 industri termasuk industri kilang, agri komoditi, peruncitan dan perbankan diperiksa sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 127 premis dikesan melakukan pelanggaran SOP dengan 88 syarikat dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kapasiti atau syarikat manakala selebihnya kompaun terhadap individu.

"Ia membabitkan kompaun keseluruhan bernilai RM936,000 dalam operasi selama 28 hari bermula 31 Mei lalu.

"Dalam operasi di dua kilang di Kemaman hari ini, kita turut mengesan gagal mematuhi kapasiti pekerja yang sepatutnya hanya 60 peratus dan gagal mematuhi SOP di ruang khas dan makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:14 PM