SEKATAN jalan raya di sempadan negeri Terengganu.
SEKATAN jalan raya di sempadan negeri Terengganu.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Tiada aktiviti atau perhimpunan Black Democracy dikesan sekitar bandar raya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, walaupun perhimpunan itu dijadualkan berlangsung hari ini, namun ia tidak mendapat sambutan daripada rakyat negeri ini.

Katanya, keadaan di sekitar bandar raya adalah seperti biasa, tenang dan tidak ada sebarang bentuk perhimpunan, aktiviti dan provokasi yang boleh mengganggu dan mengancam keselamatan.

"Sehingga petang ini, pemantauan dan rondaan serta sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di beberapa lokasi termasuk di kawasan istana mendapati negeri ini tidak terkesan dengan aktiviti itu (Black Democracy)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi strategik mendapati keadaan seperti biasa dan tiada sebarang kegiatan atau aktiviti dalam bentuk kumpulan besar dilakukan di sekitar bandar ini.

Kelmarin, tular video berdurasi dua minit 40 saat memaparkan individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun hari ini bagi membantah pelaksanaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 7:18 PM