Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Semua kawasan yang menjadi sasaran utama lokasi perhimpunan haram 'Black Democracy' sekitar negeri ini, hari ini, khususnya membabitkan kawasan istana, dikawal ketat polis.

Sekali gus, tiada sebarang sambutan terhadap perhimpunan haram terbabit.

Tinjauan di kawasan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar jam 11.40 pagi tadi mendapati, kawasan itu lengang namun dikawal anggota polis.

Situasi sama turut berlaku di tiga istana yang berada di bandar raya ini iaitu Istana Kinta di Jalan Sultan Nazrin Shah, Istana Al-Ridhuan Perak di Jalan Raja Dihilir serta Istana Cempaka Sari di Jalan Sultan Azlan Shah.

Ketiga-tiganya turut dikawal anggota polis.

Sekatan Jalan Raya (SJR) turut didirikan di Jalan Sultan Nazrin Shah yang membabitkan kedua-dua hala menuju Istana Kinta, begitu juga SJR yang didirikan di Jalan Raja Dihilir menempatkan Istana Al-Ridhuan.

Selain itu, kawalan polis melalui Balai Polis Bergerak serta SJR juga didirikan berhadapan bangunan menempatkan Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ipoh di Greentown Square di sini, yang kononnya turut menjadi sasaran perhimpunan haram terbabit.

SJR yang didirikan berhadapan bangunan Pejabat KWSP Ipoh di Greentown Square, di sini bagi menghalang penganjuran perhimpunan haram Black Democracy, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SJR yang didirikan berhadapan bangunan Pejabat KWSP Ipoh di Greentown Square, di sini bagi menghalang penganjuran perhimpunan haram Black Democracy, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Tinjauan setakat jam 1.40 tengah hari tadi di Bangunan KWSP turut mendapati suasana lengang biarpun banyak kenderaan dilihat di parkir berhampiran kawasan yang menjadi lokasi tumpuan membeli-belah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, setakat jam 1.30 tengah hari, tiada aktiviti perhimpunan haram itu dikesan di Perak.

Perhimpunan haram itu kononnya akan berlangsung jam 12 tengah hari membabitkan beberapa lokasi.

Kelmarin, video berdurasi dua minit 40 saat tular di media sosial menyeru orang ramai menyertai perhimpunan haram itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 2:58 PM