Amir Mamat


Melaka: Tiada apa yang berlaku apabila lima lokasi awam yang didakwa bakal menjadi tumpuan perhimpunan haram 'Black Democracy' di negeri ini, didapati lengang.

Sehingga jam 3 petang tadi, tiada kelibat individu atau kumpulan yang dikatakan berpakaian baju kemeja T hitam berada di lokasi berkenaan.

Lokasi didakwa bakal tercetus pehimpunan protes itu adalah di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hadapan Istana Melaka di Bukit Beruang, kediaman Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Bukit Katil, hadapan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh serta Dataran Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menggerakkan seramai 232 pegawai serta anggota ke semua lokasi yang disenaraikan itu bagi memastikan rancangan perhimpunan haram terbabit tidak dilaksanakan.

Katanya, pada masa sama, beberapa kawasan pelancongan yang disifatkan boleh dijadikan lokasi pertemuan kumpulan terbabit juga dipantau ketat bagi mengelak sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

RAZALI Abu Samah (kiri) bersama anggotanya membuat rondaan untuk memastikan tiada aktiviti perhimpunan diadakan berkaitan propaganda Black Democracy. FOTO Syafeeq Ahmad
RAZALI Abu Samah (kiri) bersama anggotanya membuat rondaan untuk memastikan tiada aktiviti perhimpunan diadakan berkaitan propaganda Black Democracy. FOTO Syafeeq Ahmad

"Kita serius menangani kegiatan tidak berfaedah ini. Kami turut mendapat kerjasama Batalion 6, Pasukan Gerakan Am Muar yang akan menggerakkan seramai 129 anggota serta lima pegawai pada bila-bila masa bagi memastikan rancangan itu (perhimpunan haram) tidak berlaku di Melaka.

"Justeru polis memberi amaran kepada individu atau kumpulan yang terbabit dalam perhimpunan haram ini. Mereka akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) kerana menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Tindakan boleh diambil mengikut beberapa kesalahan seperti rentas sempadan atau daerah tanpa surat kebenaran, pergerakan melebihi 10 kilometer serta merentas tanpa memberi alasan munasabah," katanya selepas melakukan pemantauan di Dataran Masjid Al-Azim, di sini, tadi.

Menerusi video berdurasi dua minit 40 saat itu, dilihat seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksananaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:00 PM