DATUK Surina Saad.
DATUK Surina Saad.
Aizat Sharif


Kangar: Tindakan kompaun akan terus diberikan kepada mana-mana individu atau pihak yang didapati berkumpul di Perlis bagi membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi perhimpunan haram Black Democracy (BD).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, berdasarkan risikan, pihaknya mendapati tiada perhimpunan berkenaan cuba diadakan di negeri ini setakat ini.

"Risikan kita setakat ini mendapati tiada perhimpunan BD ini akan diadakan di Perlis namun begitu kita akan terus memantau secara teliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Malah, tindakan kompaun akan diambil sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan SOP," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya akan bersama-sama meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri itu bersama petugas dan anggota keselamatan dari agensi lain.

"Sekiranya ada yang didapati masih mengikuti perhimpunan berkenaan, kita akan kompaun mereka kerana melanggar SOP berhimpun.

"Namun jika ada kesalahan jenayah pula, mereka akan ditangkap dan dituduh mengikut kesalahan jenayah," katanya.

Semalam, polis dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun menerusi 'operasi' Black Democracy pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi seluruh negara esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:07 PM