Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perhimpunan sempena Operasi Black Democracy yang dijadual berlangsung tengah hari ini, tidak mendapat sambutan di bandar raya ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, ia susulan operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) sejak semalam.

Katanya, hampir 400 pegawai dan anggota daripada tiga agensi berkenaan bekerjasama bagi memastikan bandar raya ini bebas dari sebarang unsur provokasi dan kejadian tidak diingini.

"Alhamdulillah, situasi di bandar raya ini terkawal sejak kawalan keselamatan ditingkatkan bermula jam 8 pagi tadi dan tiada kompaun dikeluarkan terhadap mana-mana individu setakat ini.

"Kawalan yang kita buat di beberapa lokasi strategik di bandaraya ini tidak berjaya ditembusi dan perhimpunan Black Democracy nampaknya tiada sambutan setakat ini di Johor Bahru.

"Antara lokasi yang dikawal ketat membabitkan Istana Bukit Serene, Istana Besar, Istana Pasir Pelangi dan Bangunan KWSP Negeri Johor.

"Kita juga mengadakan tiga sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk bandaraya ini dengan kehadiran pegawai dan anggota di sepanjang laluan ke bandaraya dan lokasi strategik," katanya dalam sidang media di Bangunan KWSP di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan, Polis Johor mengetatkan kawalan di pusat bandar raya ini dengan mengadakan SJR selain menutup beberapa laluan utama di lokasi strategik.

MOHD Padzli Mohd Zain ketika ditemuramah selepas membuat pemantauan berikutan penularan akan didadakan perhimpunan Black Democracy. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHD Padzli Mohd Zain ketika ditemuramah selepas membuat pemantauan berikutan penularan akan didadakan perhimpunan Black Democracy. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kelmarin, tular video berdurasi dua minit 40 saat memaparkan individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun hari ini bagi membantah pelaksanaan 'lockdown' dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi 'operasi' dikenali sebagai Black Democracy.

Sementara itu, Mohd Padzli berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan peserta perhimpunan Black Democracy menukar modus operandi mereka dengan hanya merakam video dengan memakai baju hitam sebagai tanda sokongan terhadap himpunan haram itu.

Katanya, pihaknya ada menerima laporan itu dan siasatan sedang dilakukan.

"Sekiranya benar terdapat video seperti dilakukan di rumah peserta di daerah ini, kesalahan itu akan dirujuk Jabatan Siasatan Jenayah Johor, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:16 PM