Ariffin (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di PPV Kuala Berang. FOTO/BAHAROM BAKAR
Ariffin (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di PPV Kuala Berang. FOTO/BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Berang: Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada pengiat industri pelancongan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan negeri sedang berusaha agar keutamaan diberikan kepada semua pengiat industri pelancongan diberi keutamaan vaksin Covid-19.

Katanya, perbincangan dengan semua agensi pelancongan, terutama untuk mendapatkan maklumat jumlah keseluruhan pemain industri sedang giat dilakukan.

"Kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) agar mengutamakan suntikan vaksin kepada golongan berkenaan selepas memperoleh jumlah sebenar mereka yang terbabit dalam industri berkenaan.

"Kita juga sedang bekerjasama dengan semua agensi pelancongan untuk mendaftarkan semua nama pemain industri bagi mendapatkan suntikan vaksin," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan menyantuni petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pegawai Daerah Hulu Terengganu Ahmad Azizi Zulkifli dan penyelaras PPV Kuala Berang Zuraidah Embong.

Pada lawatan itu, Ariffin turut menyampaikan sumbangan makanan dan minuman ringan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV di Dewan MDHT.

Ariffin berkata, pelancong dari dalam serta luar negara akan merasa lebih selamat dan tidak mudah dijangkiti Covid-19, jika semua pemain industri sektor pelancongan mendapat suntikan vaksin.

"Jika pemberian vaksin dapat dilaksanakan dan aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai akan berasa selamat apabila melancong," katanya.

Beliau turut mencadangkan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin.

"Saya mencadangkan agar semua pemain industri pelancongan disenaraikan bagi mendapatkan suntikan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Antara pemain industri pelancongan dicadangkan diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin adalah pengayuh beca roda tiga, pemandu kereta sewa, pengusaha dan kakitangan di sektor perhotelan terutama pengusaha chalet di pulau peranginan serta pemandu pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:59 AM