Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan terus memberi insentif bulanan kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, insentif bulanan sebanyak RM200 sebulan diberikan sebagai menghargai peranan golongan berkenaan dalam usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan akan membuat kajian kaedah pembayaran insentif bulanan kepada golongan itu.

ARIFFIN Deraman (kanan) beramah mesra bersama pengayuh beca selepas menyampaikan bantuan Insentif bulanan di TD1303. FOTO Ghazali Kori
ARIFFIN Deraman (kanan) beramah mesra bersama pengayuh beca selepas menyampaikan bantuan Insentif bulanan di TD1303. FOTO Ghazali Kori

"Kita tidak akan melakukan pembayaran insentif kepada golongan itu setiap bulan, sebaliknya tiga bulan sekali atau enam bulan sekali," katanya kepada media selepas menyampaikan tunggakan insentif bulanan sebanyak RM1,200 untuk tempoh Julai hingga Disember kepada 49 pengayuh beca roda tiga dan 17 pemandu bot penambang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM79,200 di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri (PPPT) Tun Baharom Tun Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Alor Limbat berkata, pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang disaran mengemukakan permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Menurutnya, pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang layak untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada agensi berkenaan dalam kategori warga emas.

"Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia lebih 60 tahun serta pendapatan bulanan mereka dikategorikan di bawah paras kemiskinan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, kerajaan negeri bercadang memperkasakan perkhidmatan beca roda tiga dan bot penambang pada tahun depan.

Menurutnya, antara penambahbaikan akan dilakukan adalah memperkenalkan perkhidmatan tambahan termasuk menyediakan kaca mata realiti maya terutama kepada pelanggan bot penambang.

"Kaca mata realiti maya itu membolehkan pengguna merasai pengalaman menyaksikan video tiga dimensi (3D) lokasi tarikan pelancongan di negeri ini ketika berada di dalam bot penambang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 4:37 PM