PENGUAT kuasa memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Minyak. FOTO Ihsan JIM
PENGUAT kuasa memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Minyak. FOTO Ihsan JIM
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Seramai 35 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Minyak, di sini, malam tadi.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Imigresen Melaka (JIM) dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selama lima jam yang berakhir pada 4 pagi, hari ini.

Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, serbuan itu dilakukan bagi mengesan Pati yang masih tinggal di negara ini walaupun kerajaan sebelum ini sudah meminta mereka menyerah diri untuk dihantar pulang.

"Dalam serbuan itu seramai 171 warga asing diperiksa dan hasilnya 35 lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah ketika diminta penguat kuasa.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun membabitkan 17 warga Indonesia dan 18 warga Bangladesh," katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan ada juga Pati yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sekitar penempatan bagi mengelak ditahan.

"Selain tinggal lebih masa, mereka turut dikesan menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di negara ini dengan tidak pulang ke negara asal dan bekerja secara haram di negeri ini.

"Mereka didapati melakukan kesalahan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat pas atau Permit, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c)," katanya.

Anirwan Fauzee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana Pati yang didapati melanggar atau melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:31 PM