MAJLIS Amanah Rakyat.
MAJLIS Amanah Rakyat.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah menambah baik Program World's Top Universities (WTU) di bawah penganjuran pelajaran dengan meluaskan pilihan universiti daripada 30 ke 50 universiti terbaik dunia.

Mara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan WTU merupakan program pinjaman pelajaran Mara, kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti terbaik dunia.

Menurutnya, sesuai dengan peluang itu, Mara mengambil inisiatif melanjutkan tempoh permohonan pinjaman pelajaran bagi WTU dari hari ini hingga 8 Julai nanti.

Menurut Pengerusi Mara Datuk Azizah Mohd Dun, melalui penambahbaikan itu, ia dapat memperluaskan pilihan universiti terbaik kepada pelajar dalam memilih bidang yang bersesuaian dan diminati untuk menyambung pengajian.

"Trend dan permintaan yang tinggi terhadap permohonan untuk melanjutkan pengajian ke negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan lain-lain yang menyediakan kualiti pendidikan terbaik turut diambil kira," katanya.

Kenyataan itu juga memberitahu penetapan universiti terbaik adalah berpandukan kepada QS World University Rankings yang dikeluarkan oleh International Ranking Expert Group (IREG) dan Badan Profesional Malaysia berasaskan universiti yang mempunyai reputasi kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi.

"Program WTU ini terbuka kepada pelajar cemerlang yang lulus pengajian persediaan dalam International Baccalaureate (IB), A-Level, Foundation, Asasi, Diploma dan Matrikulasi.

"Di samping itu juga, ia turut dibuka kepada pelajar sedia ada yang layak dan memiliki baki pengajian sekurang-kurangnya setahun," menurut kenyataan itu.

Jelasnya, seramai 3,569 pelajar tajaan Mara kini sedang mengikuti pengajian luar negara termasuklah di beberapa universiti terbaik dan program pinjaman pelajaran Mara diwujudkan sejak 1966 dan sudah menaja seramai 543,259 pelajar.

"Bagi 2021, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program pinjaman ini dengan menyasarkan 60,000 pelajar menerima manfaat penajaan di bawah skim pinjaman boleh ubah di universiti di dalam dan luar negara," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:06 PM