ASYRAF (tengah) pada Majlis Graduasi Kolej Mara Banting kali ke-31 Tahun 2023 di USIM. FOTO ihsan MARA
ASYRAF (tengah) pada Majlis Graduasi Kolej Mara Banting kali ke-31 Tahun 2023 di USIM. FOTO ihsan MARA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seramai 271 daripada 316 graduan Kolej Mara Banting, Selangor berjaya melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia tahun ini.

Graduan berkenaan bakal meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di London School Of Economics and Political Science (LSE) serta University College London di United Kingdom; University of New South Wales (UNSW), Australia; dan University of Auckland, New Zealand.

Dua daripada mereka berjaya mendapat mata penuh 45 mata manakala 69 graduan mendapat 40 hingga 44 mata dalam Peperiksaan International Baccalaureate (IB) yang lalu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara memberi peruntukan besar untuk menghantar pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.

"Ratusan ribu dibiayai dalam bentuk biasiswa pada awalnya dan hari ini dalam bentuk pinjaman boleh ubah dengan satu matlamat.

"Inilah anak-anak bangsa yang kita harapkan untuk pulang ke tanah air menjadi manusia berguna dan generasi bermanfaat kepada agama serta bangsa dan seterusnya memperkasakan agenda besar negara.

"Hari ini, saya turut berkongsi rasa bangga dan gembira atas kejayaan seramai 316 orang pelajar Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) yang membuktikan kecemerlangan bukan saja dalam bidang akademik tetapi merangkumi bidang kokurikulum," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Seramai 316 pelajar Program IBDP diraikan pada Majlis Graduasi Kolej Mara Banting kali ke-31 Tahun 2023, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Asyraf Wajdi berkata, Mara turut menaja graduan yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara di institut pengajian tinggi tempatan.

Untuk rekod, Kolej Mara Banting menawarkan program IBDP sejak tahun 1992 sehingga sekarang.

Kolej berkenaan turut menerima pengiktirafan International Baccalaureate Organisation (IBO) untuk melaksanakan program IBDP dan terpilih menjadi salah sebuah IB World Schools.

Mata penuh bagi Peperiksaan IBDP ialah 45 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 11:33 AM