5 senarai individu dikehendaki yang dikeluarkan. FOTO ihsan ESSCOM
5 senarai individu dikehendaki yang dikeluarkan. FOTO ihsan ESSCOM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini mengeluarkan senarai baharu empat suspek yang dikehendaki.

Dalam senarai itu, ESSCOM turut mengeluarkan lima individu kerana mereka sudah diambil tindakan oleh pihak keselamatan Filipina.

Empat terbaru yang disenaraikan itu adalah Ellam Sajiran @ Nasirin, Ismuran Jirah, Tista Hussein dan Ahadin Hussein.

Manakala lima individu yang dikeluarkan dalam senarai dikehendaki iaitu adalah Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh, Long Sahirin, Japs Sawadjaan @ Mujafar Sawadjaan dan Mundi Sawadjaan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, senarai orang dikehendaki terbaharu itu dikemas kini selepas kejayaan operasi menghapuskan suspek di Beaufort, baru-baru ini.

Katanya, semua penama terbabit disenaraikan sebagai suspek yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam jenayah rentas sempadan serta penculikan.

"Sebahagian kejayaan menghapuskan suspek lama adalah hasil daripada operasi terdahulu di Beaufort Sabah.

"Kejayaan itu membawa kepada operasi ke atas Abu Sayaf Group Sub Leader, INJAM YADAH dan AL SAWADJAAN dan RAF," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 5:40 PM