MUDZRIMAR@Mundi Sawadjaan. FOTO ihsan ESSCOM
MUDZRIMAR@Mundi Sawadjaan. FOTO ihsan ESSCOM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Mudzrimar@Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup dan tersenarai sebagai individu dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar disahkan hasil perkongsian maklumat perisikan antara ESSCOM dengan Joint Task Force Sulu (JTFS) dan Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

Katanya, ia susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021.

"ESSCOM ingin memberi penjelasan lanjut berhubung status Mudzrimar yang dilaporkan mati dalam satu insiden pada Mei tahun lalu.

"Melalui perkongsian maklumat perisikan antara ESSCOM dengan JTFS dan J2 WESTMINCOM, Mudzrimar disahkan masih hidup," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, suspek kini kekal berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa.

Katanya, ia bagi membantu siasatan dalam kes-kes jenayah rentas sempadan dan Kidnap For Ransom (KFR) di ESSZone.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 1:23 PM