LIMA suspek terbaharu dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah di ESSZONE. FOTO ihsan ESSCOM
LIMA suspek terbaharu dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah di ESSZONE. FOTO ihsan ESSCOM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Susulan kejayaan menumpaskan sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) tahun lalu, pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan senarai baharu lima suspek dikehendaki, hari ini.

Lima suspek itu adalah Ahadin Hussein, Ellam Sajirin @ Nasirin, Ismurah Jirah, Madjid Said @ Ammah Pattit dan Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Ahadin, Ellam dan Ismurah disyaki berperanan sebagai penjaga tebusan (keepers) dan terbabit dalam kes penculikan di perairan Tambisan.

Beliau berkata, Madjid adalah ketua paling senior Daulah Islamiah (DI) Sulu Based dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta Sub Leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan.

"Mudzrimar adalah anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan Sub Leader dalam ASG serta mempunyai kepakaran membuat bom.

"Malah individu ini perancang letupan bagi insiden di 'The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo' pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo pada 24 Ogos 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hamzah berkata, 15 individu lagi kekal dalam seranai dikehendaki adalah Salip Mura; Al Munjir Yadah; Ben Tatoh Quirino; Basaron Arok; Mujimar Sawadjaan; Rasad; Marajan @ Manajan Asiri; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Jul @ Jun Hasan; Barak Undog @ Alvin; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Hadji Wahad @ Talip; Tampi @ Bunju; Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko.

Beliau berkata, semua 20 individu termasuk lima individu baharu ini adalah warga asing yang mempunyai hubungan dengan ASG dan berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes-kes jenayah rentas sempadan dan Kidnap For Ransom (KFR) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

"Seramai lima individu dikehendaki dalam senarai Wanted List Jun 2021 iaitu Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh; Long Sahirin; Japs Sawadjaan @ Musafar Sawadjaan dan Halipa telah ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara itu.

"Sehubungan itu, kelima-lima individu terbabit telah dikeluarkan daripada senarai Wanted List," katanya.

Beliau berkata, ESSCOM akan memperhebatkan operasi khas untuk menjejak anasir terbabit dan melancar operasi bersepadu laut dan darat bagi membanteras elemen tidak diingini di ESSZONE.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai senarai individu dikehendaki itu boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau salurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 11:47 AM