18 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes jenayah rentas sempadan di ESSZONE. FOTO Ihsan ESSCOM
18 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes jenayah rentas sempadan di ESSZONE. FOTO Ihsan ESSCOM
Junaidi Ladjana


KETUA kumpulan Abu Sayyaf dan Ketua Kumpulan Maute antara 18 senarai terbaru individu yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kedua-dua mereka iaitu Isnilon Hapilon dari Basilan dan Abdullah Maute dari Marawi City, Filipina.

"Ini kerana, mereka dikhuatiri akan melarikan diri ke mana-mana negara termasuk ke Malaysia melalui Sabah susulan tindakan ketenteraan oleh kerajaan Filipina bagi menghapuskan pemberontak Maute di Marawi City.

"Susulan tindakan ketenteraan yang dilaksanakan oleh kerajaan Filipina di Marawi City, kita khuatir mereka ini akan melarikan diri ke negara kita sama ada menyamar sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau nelayan asing.

"Justeru saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan individu yang disenaraikan boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 013-880 3585 atau 019-230 5909 atau balai polis yang berhampiran," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Tambah Abdul Bari, 18 individu termasuk dua ketua kumpulan itu adalah warga asing yang dikehendaki bagi membantu pasukan keselamatan menyelesaikan isu jenayah rentas sempadan di perairan pantai timur Sabah pada tahu lalu.

"Selepas kita teliti dan siasat termasuk mendapatkan maklumat daripada rakan kita di Filipina, ini adalah senarai terbaru individu yang dikehendaki dan disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah rentas sempadan.

"Semua mereka belum ditahan sama ada oleh pasukan keselamatan kita mahupun tentera Filipina sepanjang tahun lalu," katanya di sini, hari ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 12:48 PM